SIAPA DIA MANUSIA?
Apabila difahami manusia adalah salah satu makhluk ciptaan Allah yang mana didalam Al Quran pelbagai perkataan yang telah digunakan bagi merujuk kepada manusia itu sendiri seperti Wahai Manusia, Wahai Bani Adam. Manusia tidak akan tercipta jika tidak ada yang menciptakannya. Allah lah yang telah menciptakan manusia sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Mukminun ayat 12 hingga 14:
12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
13. kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;
14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
Begitulah Allah menerangkan bagaimana Dia menciptakan manusia. Manusia adalah makhluk yang dikurniakan nafsu dan akal. Berbeza dengan binatang dan malaikat. Binatang hanya dikurniakan nafsu dan malaikat pula dikurniakan akal. Ini menunjukkan manusia telah dimuliakan oleh Allah sendiri.
KENAPA MANUSIA DIJADIKAN?
Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 30:
30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"…..
Melalui firman diatas menunjukkan manusia diciptakan atau dijadikan adalah untuk dijadikan khalifah dimuka bumi. Khalifah yakni pemimpin adalah seseorang yang memimpin diri sendiri dan umat manusia menuju kepada jalan keredhaan Allah dan sentiasa mengerjakan ketaatan kepada Allah sebagaimana firman Allah dalam Surah Adz Zariyaat ayat 56:
56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Jelaslah bahawa manusia diciptakan didunia untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala apa jua larangannya.
APA TUJUAN HIDUP MANUSIA DIDUNIA?
Manusia diberi kesempatan untuk hidup didunia adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah yang mana manusia diciptakan adalah untuk menjadi khalifah dan hamba Allah. Dalam mengabdikan diri kepada Allah, perlulah memiliki pedoman ataupun cara yang betul agar manusia dapat kebahagiaan didunia mahupun diakhirat. Dalam proses penerimaan tunjuk ajar yang betul dan lurus maka dengan sebab itulah para Rasul telah diutus oleh Allah bagi menyampaikan syariat dan tunjuk ajar yang betul agar mendapat keredhaan daripada Allah.
Diantara tujuan manusia diciptakan oleh Allah ialah sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini dalam surah Adz Zariyaat ayat 56:
56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Dalam ayat diatas menerangkan bahawa Allah tidak akan menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaNya. Dengan mengerjakan ketaatan kepada Allah maka, manusia akan menerima balasan yang baik samada didunia mahupun diakhirat begitu pula sebaliknya jika melakukan kemungkaran maka akan dibalas dengan seksaan.
APAKAH PERKARA YANG PERLU DIMILIKI DAN DILAKUKAN OLEH MANUSIA UNTUK MEMENUHI TUJUAN HIDUP?
Perkara yang perlu ada dalam diri manusia ialah keimanan kepada Allah dan RasulNya dan juga beriman kepada rukun iman yang enam. Dengan adanya keimanan kepada Allah, maka akan sendirinya melakukan beberapa perkara yang telah digariskan oleh Islam seperti mengerjakan sembahyang 5 waktu, mengeluarkan zakat dan sebagainya.
Sebagaimana yang telah diterangkan diatas tujuan manusia hidup adalah untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Melakukan ketaatan adalah dengan mengerjakan apa yang telah disuruh dan diperintahkan oleh Allah. Dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang maka sudah tentu tujuan hidup akan dapat dipenuhi disamping mendapat kebahagiaan didunia dan diakhirat.
APAKAH PANDUAN HIDUP MANUSIA?
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 19
19. Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
Islam adalah merupakan agama yang benar untuk dianuti oleh setiap manusia. Inilah sebenarnya yang menjadi panduan bagi semua umat manusia bagi mencapai kebahagiaan. Islam adalah cara hidup yang lengkap yang mana islam itu sendiri berpandukan kepada Al Quran iaitu kalam Allah yang menerangkan hukum kehidupan yang lengkap dan juga berpandukan kepada sunah Rasulullah. Dengan berpandukan Islam maka manusia akan mendapatkan jalan kebenaran yang sebenar-benarnya. Disamping itu juga akal adalah satu agen yang penting yang juga dijadikan panduan tetapi perlu juga berpandukan kepada Islam itu sendiri. Akal saja tidak akan dapat memberikan kebenaran jika tidak berpandukan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah.
KEMANAKAH MANUSIA SELEPAS MATI?
Pada hakikatnya, manusia perlu melalui beberapa alam untuk sampai kealam yang kekal abadi iaitu alam akhirat:
1. Alam Roh
2. Alam Rahim
3. Alam Dunia
4. Alam Barzakh
5. Alam Akhirat
Sekarang, manusia yakni kita sedang berada didalam alam dunia namun selepas kematian manusia akan berpindah kealam barzakh sebelum melangkah kealam akhirat. Begitulah kemana manusia selepas mati iaitu hidup dialam barzakh.