Tuesday, April 7, 2009

KEMATIAN

Oleh: Knowledgeseeker

Saudara-saudari, adakah kita menyedari bahawa sejak kebelakangan ini hari demi hari kematian berlaku? Mungkin kita menyedarinya ataupun mungkin tidak. Berita keluarga yang selalu kedengaran diradio-radio telah membuka fikiran saya. Membuka minda saya untuk mengingat akan saat kematian…

Kita renung Firman Allah dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 8:

“ Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. ”

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, setiap yang hidup pasti akan mati dan binasa kecuali Zat Allah. Timbul difikiran saya untuk serba sedikit menghuraikan tentang kematian.

Manusia diciptakan daripada tanah dan akhirnya juga akan kembali ketanah. Manusia itu terbahagi kepada dua unsur iaitu ROH dan JASAD. Dari dulu hingga sekarang hanya sedikit sahaja penghuraian yang dapat dihuraikan oleh manusia tentang roh. Ini adalah kerana roh itu adalah urusan dan pengetahuan Allah yang Maha Pencipta sebagaimana Firmannya Al Isrã’ ayat 85:

“ Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, Roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberikan pengetahuan hanya sedikit. ”

Kita tumpukan perbincangan kita kepada jasad. Jasad yang terdiri daripada daging-daging, tulang-tulang, urat saraf dan sebagainya akan hanya berfungsi jika terdapat roh didalam jasad tersebut. Jika tidak ada roh maka jasad tersebut dikatakan mati. Tetapi semasa kita tidur roh kita tidak ada pada jasad kita tetapi ianya tidak putus daripada jasad dan dipegang dan dipelihara oleh Allah dan apabila kita terjaga maka roh kita akan kembali semula kedalam jasad kita.

Mati yang sebenarnya ialah terputusnya hubungan roh dengan jasad. Apabila tergugurnya daun dari Arash Allah yang tertulis nama kita lalu malaikat Izrail akan mengutipnya dan membuat persediaannya untuk menjemput kita kembali kepada Allah maka disanalah kematian akan menjemput kita.

Timbul difikiran saya, bagaimanakah, bilakah, dimanakah saya akan mati? Itu hanya diketahui oleh Allah Yang Maha Mengetahui. Yang hanya mampu saya dan anda lakukan untuk berdepan disaat hari kematian itu adalah mempersiapkan diri dengan Amal Kebajikkan. Adakah kita sudah mempersiapkannya sedari awal? Ataupun tidak? Maka saya mengingatkan diri saya dan anda sekalian untuk sama-sama memuhasabah diri kita.

Bagaimanakah keadaan apabila sampai ajal? Berkata Ibnu Mas’ud Radhiallahu ‘anhu:

“ Apabila datang Malakul Maut untuk mengambil nyawa orang mukmin dia berkata kepadanya: “Tuhanmu memberi salam kepadamu”. “

Begitulah Malakul Maut memberikan salam kepada orang yang mukmin. Tidak akan dicabut nyawa seorang mukmin itu sehinggalah dia disentosakan daripada seksa dengan salam keatasnya. (Jambatan Ke Akhirat oleh Phin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia DR Ustaz Haji Awang Abdul bin Juned Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam).

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah sebuah hadis marfu ‘ :

“ Lalu hadirlah para malaikat ketika naik nyawa seorang hamba. Jika dia seorang yang salih, maka berkatalah para malaikat itu:

“ keluarlah wahai jiwa yang tenang yang ada dalam tubuh yang baik, keluarlah di dalam keadaan terpuji, serta bergembiralah dengan rauh(kesenangan) dan raihan(bau yang harum) dan Tuhan pula redha kepadamu tiada murka”

Maka (ucapan ini) sentiasalah diulang sehingga sampai dia ke langit. Lalu menbuka baginya tujuh pintu petala langit sehingga sampai pula dia ke hadhrat Allah Yang Maha Kula Lagi Maha Besar”

Sekiranya hamba itu seorang yang jahat (ahli maksiat) akan berkata Malakul Maut:

“Keluarlah engkau, wahai jiwa yang kotor, yang berada dalam tubuh yang jahat, keluarlah dengan keadaanmu yang keji dan bergembiralah dengan Hamim (Keadaan yang sangat panas) dan ghasak (keadaan yang sangat sejuk) yang busuk tiada bandingannya.”

Maka berkali-kalilah ucapan itu akan diulang sehingga nyawa keluar.


Saudara dan saudari, salah satu langkah untuk membersihkan hati ialah mengingati mati. Rasulullah sendiri menganjurkan untuk sentiasa mengingati mati sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, katanya:
“Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Hendaklah kamu banyak-banyak mengingati pemutus kenikmatan (mati)”

Kita fokuskan kepada hadith Rasulullah diatas mengenai pemutus kenikmatan (mati). Mengapakah baginda menerangkan mati itu pemutus kenikmatan? Kita sendiri dapat merasakannya segala nikmat yang kita nikmati ini pasti akan berakhir. Tetapi bilakah ianya akan berakhir? Timbul difikiran kita. Ianya pasti akan berakhir setelah kehadiran mati. Dengan kehadiran matilah semua nikmat, harta, pangkat dan seumpamanya akan ditinggalkan. Hanya amalanlah yang akan dibawa.

Apa guna pingat atau bintang yang tersemat didada? Pasti ia akan ditinggalkan. Apa guna kereta mewah? Pakaian yang mahal? Kasut yang mahal? Rumah yang besar? Wang yang banyak? Pasti ia akan ditinggalkan.

Sekarang, apa yang perlu ialah meningkatkan amal kebajikkan kita untuk mempersiapkan diri kita sebelum kedatangan ajal. Akhirnya kita perhatikan apa yang dikatakan oleh Sayidina Ali r.a:

“Hak Allah itu ada 3: Mengerjakan suruhannya, Meninggalkan larangannya dan Meredhai qadha dan qadarnya.”