Monday, March 2, 2009

BEBERAPA JENIS MANUSIA

Oleh: Knowledgeseeker

Berikut adalah secebis ilmu yang saya ingin kongsikan bersama anda semua. Dunia yang kita diami ini mempunyai bermacam ragam termasuklah manusia. Manusia diciptakan yang bermula daripada nabi Adam dan Hawa sehinggalah kehari ini.

Namun manusia tidak dijadikan hanya satu jenis tetapi bermacam ragam. Apa yang bakal saya kongsikan ini hanya menjurus kepada satu aspek atau sudut bukanlah merangkumi kesemua aspek. Marilah kita lihat apa yang telah dikatakan oleh Al-Khalil bin Ahmad yang dipetik daripada buku ringkasan Ihya Ulumuddin oleh Imam Al Ghazali.

Al-Khalil bin Ahmad mengatakan bahawa manusia itu ada 4 jenis:

1. Ada orang yang tahu dan tahu bahawa ia mengetahui, maka inilah orang alim dan ikutilah ia.

Huraian:
Apa yang dimaksudkan disini ialah seseorang itu berilmu dan berpengetahuan dan ia mengetahui bahawa ia memiliki ilmu dan memiliki potensi yang ada pada dirinya. Disamping itu ia juga mengamalkan apa yang dipelajarinya itu.

2. Ada orang yang tahu dan tidak tahu bahawa ia mengetahui, maka itulah orang yang tidur dan bangunkanlah ia.

Huraian:
Yang dimaksudkan disini ialah seseorang itu berilmu tetapi ia tidak mengetahui dan menyedari bahawa ia mengetahui sesuatu itu dan tidak menyedari bahawa ia sebenarnya memiliki potensi.

3. Ada orang yang tidak tahu dan ia tahu bahawa ia tidak mengetahui, maka itulah orang yang memerlukan bimbingan dan ajarilah ia.

Huraian:
Seseorang itu tidak mengetahui sesuatu itu dan ia sedar dan mengetahui bahawa ia tidak mengetahui. Sebagai contoh Seorang murid yang ingin mempelajari matematik. Mengapakah ia mahu mempelajarinya? Ini adalah kerana ia mengetahui bahawa ia tidak tahu mengenai matematik. Mengapakah kita bertanya tentang sesuatu yang kita tidak ketahui? Itu adalah kerana kita menyedari bahawa kita tidak mengetahui.

4. Ada orang yang tidak tahu dan ia tidak tahu bahawa ia tidak mengetahui, maka itulah orang yang bodoh dan waspadalah terhadapnya.

Huraian:
Orang yang sebegini sangat bahaya kerana sebenarnya ia tidak mengetahui tentang sesuatu itu dan tidak sedar bahawa ia sebenarnya tidak mengetahui.

Sekianlah saja yang dapat saya kongsikan bersama anda sekalian, mudahan Allah akan memberi hidayah kepada kita agar kita akan tetap diberikan rezeki ilmu yang bermanfaat.