Wednesday, February 11, 2009

ARAK

Oleh: Knowledgeseeker

Asalamualaikum. Bismilahirahmanirrahim

Renungkanlah

“ Mereka bertanya kepada mu (Ya Muhammad) tentang arak (segala minuman yahng memabukkan) dan judi, Katakanlah pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa pada keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya ” (Al Baqarah: 219)

Wahai saudara-saudaraku, dewasa kini kita telah sama-sama mengetahui bahawa gejala-gejala sosial telah memberikan impak yang negatif didalam masyarakat dunia tidak terkecuali masyarakat Islam.

Salah satunya ialah ARAK. Arak adalah merupakan UMM AL KHABÂ’ITS iaitu ibu segala najis dan racun. Arak darisegi bahasa ialah menutup, ini adalah kerana arak itu berkeupayaan menutup akal dan fikiran seseorang dari menjadi seorang yang waras.

Adapun hukum meminum arak itu adalah HARAM. Sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, berhala dan anak-anak panah yang dibuat tilik, adalah semuanya itu kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, supaya kamu beruntung” (Al Mâ’idah: 90)

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan Nasa’i:

“ Tiap-tiap yang memabukkan itu arak dan tiap-tiap yang memabukkan itu haram”

Jelas hukum meminum arak itu adalah haram.

Sebahagian dari umat Islam masih lagi ada yang meminum arak. Ianya dihidangkan didalam majlis-majlis yang tertentu yang mana orang-orang Islam juga turut menghadirinya. Sabda Rasulullah oleh Imam Thabarani:

“ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia meminum arak, dan siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk pada meja jamuan yang ada diminum arak”

Melalui hadith ini, bukan saja hukum meminum arak itu haram tetapi menghadiri jamuan atau majlis yang ada menghidangkan arak juga diharamkan.

Kita tinjau lagi sabda Rasulullah ini yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

“Allah telah melaknat arak, peminum arak, pembawa arak, pembeli arak, penjual arak, pembuat arak, orang yang minta dibuatkan arak, tukang angkat arak dan orang yang diangkatkan arak kepadanya”

Laknat itu bermaksud terhalu dan jauh dari rahmat Allah.

Hukum bagi arak itu meliputi semua aspek iaitu peminumnya, pemerahnya, peminta perahnya, pembawanya, peminta bawakannya, pemberi minumnya, peminta minumnya, penjualnya, pembelinya, peminta belinya, peminta jualnya, pemakan harganya, penyimpannya dan pemiliknya.

Jelas wahai saudara-saudaraku bahawa hukum arak itu adalah Haram dan dilaknat oleh Allah.

Janganlah kita terpedaya oleh pengaruh arak dan syaitan. Walaupun ada faktor yang mendorong kita berbuat demikian tetapi ingatlah akan balasan yang bakal diterima.

Bercakap mengenai dengan faktor yang mendorong manusia untuk meminum arak, marilah kita tinjau faktor-faktor tersebut:

1. Pada zaman ini, arak merupakan hanya menjadi pilihan bagi sebahagian manusia. Samaada mahu meminumnya atau tidak dan mengetepikan hukum haramnya. Ini adalah kerana pengaruh-pengaruh sekeliling seperti rakan-rakan. Contoh:

Seseorang disuruh untuk meminum arak, tetapi pada awalnya dia menolak, namun rakan-rakannya tetap saja mendesak menyuruh meminumnya dan jika dia tidak mahu untuk meminumnya dia akan dilabelkan sebagai seorang yang pengecut dan tidak mengikut peredaran zaman dan akhirnya untuk tidak memalukan dia pun meminumnya.

Lihat pada contoh tersebut, dia meminum arak disebabkan supaya dia tidak dimalukan dihadapan rakan-rakannya. Cuba kita ingati kembali, dia malu disebabkan jika dia tidak meminumnya akan diejek oleh rakan-rakannya tetapi adakah dia terfikir bahawa tidakkah dia malu dihadapan Allah. Allah lah yang menciptakan dia dan rakan-rakannya dan seluruh makhluk dialam ini. Adakah kita malu kepada Allah??

2. Segelintir manusia bertanya mengapakah arak itu diharamkan? Sedangkan ia memberikan satu kenikmatan kepada mereka (kononnya). Disebabkan mereka tidak jelas mengenai dengan hikmah pengharaman arak maka mereka hanya memandang ringan mengenai dengan hukum arak tersebut. Disini saya ingin menjelaskan hikmah pengharaman arak:

Allah adalah maha pencipta, tidak ada satu pun yang lepas dari pengetahuannya. Sedangkan daun yang gugur tetap didalam pengetahuannya. Dialah yang mencipta kita semua, ertinya setiap apa yang ditetapkannya mempunyai kebaikkan kepada setiap makhluk. Dalam erti kata lain, arak diharamkan oleh Allah disebabkan ianya memberikan kesan yang buruk kepada kita. Kita lihat seorang pencipta televisyen ada menyediakan buku panduan (manual book) bagi pengunaan televisyen agar televisyen tersebut dapat digunakan dengan baik.

Itulah perumpamaannya, Allah melarang sesuatu dan menyuruh melakukan sesuatu adalah untuk kebaikkan manusia itu sendiri bukannya untuk membebankan dan menyusahkan manusia.

3. Masihkah kita ingat sebuah cerita yang pernah diceritakan tentang seorang yang kuat beibadat kepada Allah tetapi ia mati sebagai seorang yang kufur?

Dia memang kuat beribadat kepada Allah sehingga ada yang mengatakan dia beribadat selama lebih berpuluh-puluh tahun. Pada suatu hari Syaitan hendak menyesatkan dia. Maka syaitan pun menyusun strategi untuk menyesatkannya.

Lalu syaitan pun menyamar sebagai seorang yang a’lim dan pergi ketempat dimana hamba Allah yang taat itu tadi beribadat dan syaitan pun duduk dibelakangnya. Selang beberapa lamanya, hamba Allah yang taat itu tetap saja terus beribadat dan syaitan pun tetap mahu menyesatkannya.

Syaitan pun berpura-pura turut beribadat dan berdoa sehingga menangis dan bersedih. Ini menarik perhatian hamba Allah yang taat itu. Lalu didekatinya syaitan itu dan berkata, “selama aku beribadat kepada Allah, aku tidak pernah menangis sekuat-kuatnya tetapi tuan hamba mampu untuk menangis dalam beribadat kepadanya, bagaimanakah aku boleh menangis dalam berdoa kepada Allah?”

Lalu Syaitan pun berkata, “sesungguhnya dulu aku pernah melakukan dosa-dosa dan sekarang aku ingin bertaubat dan beribadat kepada Allah. Aku pun berdoa kepadanya dan menangis dalam menyesali perbuatanku itu”

Syaitan menambah lagi, ”Jika engkau ingin begini maka hendaklah engkau melakukan dosa terlebih dahulu”.

Lalu hamba Allah itupun bersetuju untuk melakukan dosa dan berkata, “Dosa apakah yang harus aku lakukan?”

Syaitan pun berkata,”Apakata merogol?”

Hamba Allah itu tidak bersetuju kerana kesalahan itu terlalu besar.

Syaitan berkata lagi, “Apakata membunuh?”

Hamba Allah itu tidak bersetuju kerana kesalahan itu terlalu besar.

Syaitan berkata, “Apakata meminum arak?”

Hamba Allah itupun bersetuju kerana meminum arak baginya hanyalah istilah ‘minum’.

Lalu pergilah mereka ke sebuah tempat dimana terhidangnya arak. Hamba Allah itu pun meminum arak tersebut sehingga mabuk dan tidak waras. Kebetulan disitu ada seorang perempuan yang cantik, lalu dalam keadaan mabuk hamba Allah itupun merogolnya dan membunuhnya. Kemudian beliaupun di tangkap dan dihukum seksa dan akhirnya disebabkan dia patuh kepada Syaitan maka matilah ia dalam keadaan kufur.

Kita lihat melalui cerita ini, arak walaupun ianya hanya minuman tetapi ia memberikan impak yang negatif dan besar kepada akal manusia dan membolehkan seseorang itu dapat melakukan sesuatu yang diluar dari jangkaan.

Akhirnya, saya mengingatkan diri saya sendiri dan semua saudara-saudara agar jangan meremehkan hukum pengharaman arak ini dan mudahan kita akan tetap mendapat rahmat dari Allah. Amin.