Monday, November 17, 2008

JAWAPAN PROF.DR.HAMKA TENTANG MIMPI SHEIKH AHMAD

Oleh: Knowledgeseeker
Asalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.
Muslimin dan muslimat, kita telahpun berada di zaman yang serba canggih dan moden. Pelbagai cara telah digunakan untuk kepentingan kita bersama. Pengunaan internet merupakan satu cara untuk kita menyampaikan sesuatu yang bermanfaat. Namun ianya juga memiliki kesan yang buruk dan memberikan impak yang negatif kepada masyarakat kita lebih-lebih lagi masyarakat islam. Kaum yang tidak bertanggungjawab akan melakukan apa saja cara untuk memerangi islam dan meracuni pemikiran dan pegang kita. Mereka memerangi islam bukan sahaja mengangkat senjata tetapi menggunakan kemudahan seperti internet untuk merosakkan akidah, kepercayaan dan pegangan kita sebagai umat islam.

Kita tumpukan perbincangan kita pada surat berantai yang ditulis oleh Syeikh Ahmad yang sebenarnya surat ini telahpun ditulis sekitar dalam tahun 1060an-1970an. Namun pada zaman teknologi ini, surat ini telah disebar luaskan lagi dengan menggunakan email. Persoalannya adakah ini benar? namun walau apapun isinya tentang mengingat akan Allah dan bertaubat memang benar dan ambillah ia sebagai pengajaran tetapi ancaman tentang tidak menyebarkannya janganlah kita percayai sesungguhnya segala baik dan buruk adalah datang daripada Allah.

Berdasarkan kepada pembacaan saya melalui buku yang telah ditulis oleh Prof.Dr.Hamka beliau telah memberikan jawapan terhadap permasalahan ini. Saya berikan jawapan yang diberikan oleh beliau untuk pengetahuan kita bersama.

Jawapan beliau terbahagi kepada beberapa bahagian:
Sumber kita beragama menurut ajaran Agama Islam hanya dua iaitu Al Quran dan hadith
Penafsiran dan perincian dari Al Quran dan As Sunah itupun telah dipelopori oleh ulama-ulama besar yang dijadikan imam-imam ikutan, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Al Quran itu sendiripun telah ditulis menurut peraturan tulisan yang tertentu. Satu ayat pun tidak ada perubahan, tidak ada pengurangan dan tambahan. Satu titik pun tidak bisa berubah kerana bila berubah satu titik, makna atau ertinya pun boleh berubah. Tulisan AlQuran yang kita terima sekarang ini bernama Mushaf Usmaniy, iaitu yang ditulis menurut peraturan saidina Usman bin Affan ketika beliau menjadi khalifah yang ke 3.
Maka dalam surat selebaran “Mimpi Sheikh Ahmad” sudah nyata ada yang sangat berlawan dengan ketentuan Al Quran.
Pada selebaran itu sheikh Ahmad mendapat mimpi bahawa tahun sekian akan terjadi itu, tahun sekian akan terjadi ini. Tahun 1971 perempuan akan keluar dari rumah tidak seizin suaminya; alangkah kacaunya mimpi ini, pada hal berpuluh tahun sebelum 1971 sudah banyak juga perempuan yang keluar rumah tanpa setahu suaminya.

Dikatakan tahun 1972 akan kelihatan tanda-tanda di langit sebesar telur ayam.
Tentu orang bodoh yang akan takut mendengarkan itu. Tahun 1972 telah berlalu dengan selamat, namun tanda-tanda dilangit telah terdapat sejak berjuta-juta tahun yang lalu, iaitu berjuta-juta bintang. Bukan sebesar telur ayam bahkan banyak bintang itu yang lebih besar dari bumi kita, sampai 1000 kali lebih besar dari bumi kita. Tetapi kelihatan dari jauh tidak ada yang sebesar telur ayam, melainkan sebesar pasir. Sheikh Ahmad tidak menjelaskan mimpinya apakah sebesar sebesar telur ayam kelihat dari bumi? Kalau “tanda” itu sebesar telur ayam, nescaya dalam jarak satu kilometer saja tidak kelihatan.

Setelah seterusnya Sheikh Ahmad menerangkan apa yang akan kejadian tahun 1980 dunia agak gelap 3 hari 3 malam (dalam konteks sekarang tidak pernah berlaku hal sedemikian dalam tahun 1980). Maka melihat bukti 1971 dan 1972 yang telah berlalu, namun tanda-tanda sedemikian tidak terjadi.

Orang yang percaya kepada Al Quran tentu saja tidak akan percaya kepada mimpi Sheikh Ahmad itu. Sebab dalam Al Quran telah dijelaskan bahawa tentang bila akan Qiamat Cuma Allah saja yang tahu (Surat Al Ahzaab ayat 63). Disaat itu juga dijelaskan bahawa Nabi Muhammad sendiri juga tidak mengetahui bilakah berlakunya Qiamat. Demikian juga dalam surah Asy Syuraa ayat 17. Didalam satu hadith sahih riwayat Bukhari Muslim disebut bahawa Malaikat Jibril pernah menyamar menyerupai manusia dan datang kepada nabi Muhammad tentang beberapa hal. Ketika ditanyakan oleh Jibril tentang bila hari akan Qiamat, baginda menjawab “Orang yang ditanya tidaklah lebih tahu dalam hal itu dari yang bertanya”. Ertinya nabi dan jibril sama-sama tidak tahu.

Sekarang kita boleh memilih, apakah mimpi ini yang akan kita pegang atau keterangan Al Quran dan Hadith. Saya tidak menolak mungkin Sheikh Ahmad bermimpi. Tetapi yang menemuinya dalam mimpi bukan nabi melainkan Iblis Laknatullah. Atau kerana tidak mungkin syaitan meniru rupa Nabi Muhammad maka Sheikh Ahmad sendirilah yang pembohong.

Sejak Agama Islam mulai berkembang 14 abad yang telah lalu, orang Islam telah diajar menilai khabar-khabar yang diterima. Sehingga hadith-hadith yang diterima dari Nabi dinilai, dari siapa diterima, siapa yang mengkhabarkan, bertemu sendirikah orang yang meriwayat hadith itu dengan rasullullah, atau diterima dari yang lain? Siapa orang lain itu? Boleh dipercayaikah dia? Sehingga hadith-hadith yang dikatakan orang dari nabi; “Bersabda Rasulullah” dikaji, sahihkah hadith itu atau dhaif atau mudhu.

Sekarang ada mimpi Sheikh Ahmad. Sudahkah diselidiki siapa Dia Sheikh Ahmad itu? Beribu-ribu orang naik haji tiap tahun, dan mereka sampai ke Medinah, ziarah ke makam Nabi. Bertemukah seorang yang bernama Sheikh Ahmad jadi juru kunci makam Nabi? Dapatkah dilihat daftar nama-nama pegawai penyelanggara Masjid Rasul di Medinah untuk melihat nama Sheikh Ahmad? Demikianlah pula Haji Abdullah Malik, pesuruh dari desa Hanabal, Sambujangan, Madura! Siapakah orang itu? Di Madura ada kantor urusan Agama, dapatkah dicari seorang yang bernama Haji Abdullah Malik didesa Hanabal, Sambujangan Madura, orang ilamkah dia? Atau seorang tukang sate Madura yang beru pulang dari Mekah?

Sedang hadith yang terang diterima dari perawi hadith terkenal, lagi dititik keaslian atau kepalsuannya, apatah lagi mimpi seorang Sheikh Ahmad jurukunci! Beribu-ribu Sheikh Ahmad di dunia; Sheikh Ahmad yang mana?Disebutkan bahawa Sheikh Ahmad berkata bahawa barang siapa yang tidak percaya kepada mimpi ini kafirlah dia! SAYA TERMASUK YANG TIDAK PERCAYA KEPADA MIMPI INI, APAKAH SAYA KAFIR? Pada hal saya saksikan dan juga disaksikan oleh beratus-ratus orang bahawa sejak berpuluh tahun sebelum 1971, sebelum 1961, sebelum 1901 dan seterusnya telah banyak juga perempuan yang keluar dari rumah tanpa seizin suaminya.

Yang lebih menyolok mata lagi tentang jelas bahawa surat selebaran ini adalah selebaran bohong yang dibuat oleh orang-orang yang tolol ialah setelah mereka menyebut perhitungan tahun memperkatakan bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad pada hal catitan tahunnya bukan tahun hijrah Nabi Muhammad melainkan hitungan waktu tahun lahirnya Nabi Isa, seribu seratus, bukan tahun seribu tiga ratus. Perhitungan Kristian bukan perhitungan Islam.

Ada lagi ancaman dan ada pula hiburan. Iaitu barang siapa yang segera menyalin surat itu banyak-banyak dan menyebar luaskannya dia akan mendapat kekayaan dan keuntungan sebagai pernah kejadian dengan seorang saudagar di Bombay. Dan ada yang mengatakan surat ini palsu, dia mati pada ketika itu juga. Pada hal Kitab Suci Al Quran sendiri kalau tidak disalin dan tidak disiarkan tidaklah mendapat ancaman mati tegang pada ketika itu juga, sebagai ancaman dalam surat lambaran itu. Diancam pula barang siapa yang tidak menyiarkannya kepada orang lain, dia akan mendapat rintangan sengsara.

Apakah ancaman Allah didalam Al Quran sendiri kepada orang yang durhaka kepada Tuhan, tidak mencukupi lagi, sehingga Nabi merasa perlu menemui Sheikh Ahmad jurukunci didalam mimpi buat mengancam-ancam umatnya?
ALHASIL: Lebih baik sebagai orang Islam kita pegang teguh saja bimbingan Allah dari dalam Al Quran dan bimbingan Rasulullah di dalam hadith-hadith yang sahih; tidak usah kita surut kebelakang menjadi orang yang diperbodoh oleh penipu-penipu yang mendinding dirinya supaya tidak diselidiki orang tentang dirinya, dia berlindung di balik ancaman barangsiapa yang tidak percaya akan celaka.
Agama kita terima dari Allah dari Rasul dengan sanad hadith-hadith, pendapat-pendapat dari Imam-imam ikutan umat sebagai Maliki, Hanafi, Syafi’i dan Hanbali, mempelajari kitab-kitab tafsir dan hadith dan fiqh yang terang sumbernya, bukan dari mimpi. Sumber agama kita bukanlah mimpi seorang tukang jaga kubur! Belum tentu juru kunci bernama Sheikh Ahmad itu ada orangnya. Belum jelas siapa itu Haji Abdullah Malik orang Madura.
Agama Islam bukanlah agama mimpi kacau, bukan kepalsuan, bukan tahyul, bukan khurafat, bukan dongeng dan bukan rentetan dari kebodohan!
Kedatangan Nabi Muhammad diutus oleh Allah kedunia ini adalah untuk mengeluarkan manusia dari gelap gelita ke tempat terang benderang. Bukan sebaliknya, membawa kembali dari tempat yang terang ke alam fikiran yang gelap gelita. Kepada yang percaya kepada mimpi ini kita ucapkan “Selamat Tolol!”
Selama kaum muslimin masih juga mempergunakan akalnya yang sihat untuk mempertimbangkan dan menilai kebenaran sesuatu, menurut dasar Al Quran “Apakah tidak kamu pergunakan akalmu” selama itu pula mereka akan dapat saja diperbodohkan oleh surat-surat selebaran seperti surat ini. Dengan surat-surat selebaran seperti ini mudah saja tukang-tukang propakasi mengacau fikiran masyarakat umum sehingga pimpinan yang sejati.

Demikianlah penjelasan yang telah dibuat oleh Prof.Dr.Hamka tentang surat yang telah disebar luaskan ini yang sebenarnya ianya adalah palsu. Ini termasuk juga segala kenyataan yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti menyebarkan sesuatu yang tidak ada dasar Al Quran dan Hadith dan jika tidak disebarkan akan mendapat sesuatu bala dan kesusahan. Kita peganglah bahawa segalanya adalah mengikut qadha dan qadar Allah jua, bukan terletak kepada surat, kenyataan, pesanan ringkas (SMS), email dan seumpamanya. Mungkin saja pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut ingin merosakkkan akidah dan iman kita terhadap Allah.

Muslimin dan muslimat yang saya hormati, janganlah kita biarkan diri kita, iman kita jauh terpesong dari ajaran Islam yang sebenarnya. Akhirnya semoga Allah akan sentiasa melindungi kita dan menetapkan keimanan kita kepadanya. Sekian. Wassalam.