Thursday, April 22, 2010

CERAMAH SEMASA KULIAH PENDIDIKAN SYIAR ISLAM - SYURGA DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU

اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Mulia Puan Pensyarah
Rakan-rakan seperjuangan
Serta para hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Jadinya untuk tidak membuang masa, saya teruskan sesi ceramah pada kali ini dengan terus kepada tajuk ceramah saya. Saya pada kali ini diberi amanah untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Syurga di bawah Telapak kaki ibu”.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
Sebenarnya, bukannya bermaksud syurga itu nampak dengan mata kasar dibawah kaki ibu kita, bukan begitu, tapi apa yang dimaksudkan disini ialah jika kita ini berkeinginan untuk mencapai nikmat yang berkekalan iaitu syurga ia juga terletak pada keredhaan ibu kita. Jika ibu tidak redha maka melayanglah cita-cita untuk menggapai syurga. Kita cam sabda Rasulullah ini yang telah diriwayatkan oleh al-Imam at-Tabarani, ada seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah lalu berkata:

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku ingin berangkat berjihad di jalan Allah. Rasulullah bertanya: adakah ibumu masih hidup?. Dia menjawab: Ya. Maka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: dampingilah kaki ibumu kerana di sanalah terdapat syurga.”

Hadith ini menunjukkan bahawa redha dan keizinan dari ibu itu adalah sangat penting walaupun perkara itu adalah perkara yang berkebajikan.

Kita lihat lagi sabda Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan at-Tirmizi. Baginda pernah ditanya:

“ Wahai Rasulullah siapakah orang yang lebih berhak saya berbakti kepadanya? Rasulullah menjawab: Ibumu, aku bertanya lagi: kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya lagi: kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya lagi: kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: Bapamu, selepas itu barulah kaum keluarga yang terdekat serta kaum kerabat yang lain .”

Nah saudara-saudari yang dirahmati Allah, betapa pentingnya seorang ibu, betapa mulianya seorang ibu, betapa tingginya martabat seorang ibu. Kita lihat sabda Rasulullah yang tadi itu, Rasullullah sampaikan menekankan sebanyak tiga kali tentang siapa yang berhak kita menabur bakti.

Sebenarnya saudara-saudari sekalian, kewajipan anak mendahulukan berbakti kepada ibu kemudian bapa bukanlah bermaksud untuk merendah-rendahkan peranan seorang bapa dalam rumah tangga, bahkan tujuannya adalah untuk lebih memperingatkan kepada setiap anak bahawa setiap ibu terpaksa menghadapi tiga detik kesusahan yang tidak pernah dihadapi oleh seorang bapa iaitu:

Kesusahan mengandung


“14. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya),” (Surah Luqman : 14)


Kesusahan Melahirkan


“ telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah.” (Surah al-Ahqaf : 15)


Kesusahan Menyusukan


“…..dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun ” (Surah Luqman : 14)

Ini bukan jangkamasa yang pendek saudara-saudari, ini jangkamasa yang panjang, jika kita menuntut ilmu didalam masa dua tahun berapa ilmu sudah kita perolehi? Tentu banyak. Inilah pengorbanan seorang ibu. Inilah dia.

Tidak akan ada seorang pegawai tinggi, tidak akan ada seorang professor, tidak akan ada seorang imam, tidak akan ada seorang yang petah bercakap untuk berhujah jika tidak ada IBU YANG MELAHIRKAN. Ingatlah ini. Ingat!

Itu dia saudara-saudari, mengapa kita perlu berbakti kepada Ibu kerana mereka telah banyak melalui beberapa ujian, kesusahan, kesulitan, kepayahan. Namun tidak dapat kita nafikan dewasa kini masih ada juga anak yang derhaka kepada ibunya. Kerana apa saudara-saudari? Kerana mereka itu tidak melihat dan mengenang akan jasa-jasa ibu mereka.

Sekarang saya akan terangkan mengenai hak ibu, apakah hak ibu yang perlu kita penuhi. Apakah hak ibu yang perlu kita patuhi agar kita dapat mencapai syurga? Diantaranya ialah:

• TAAT
• HORMAT
• MEMINTA IZIN
• KASIH SAYANG
• BERKORBAN
• BERTERIMA KASIH

Saudara-saudari sekalian,
Sebagai kesimpulan, marilah kita tetap terus dan terus menerus mengenangkan jasa-jasa ibu kita walaupun sebenarnya kita tidak mampu untuk membalas jasa-jasa mereka, marilah kita berbakti dan mencurahkan kasih sayang yang tidak terhingga kepada mereka agar hidup kita akan penuh dengan keberkatan..amin..untuk itu saya sudahi dengan………