Thursday, April 22, 2010

CERAMAH SEMASA KULIAH PENDIDIKAN SYIAR ISLAM - SYURGA DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU

اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Mulia Puan Pensyarah
Rakan-rakan seperjuangan
Serta para hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Jadinya untuk tidak membuang masa, saya teruskan sesi ceramah pada kali ini dengan terus kepada tajuk ceramah saya. Saya pada kali ini diberi amanah untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Syurga di bawah Telapak kaki ibu”.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
Sebenarnya, bukannya bermaksud syurga itu nampak dengan mata kasar dibawah kaki ibu kita, bukan begitu, tapi apa yang dimaksudkan disini ialah jika kita ini berkeinginan untuk mencapai nikmat yang berkekalan iaitu syurga ia juga terletak pada keredhaan ibu kita. Jika ibu tidak redha maka melayanglah cita-cita untuk menggapai syurga. Kita cam sabda Rasulullah ini yang telah diriwayatkan oleh al-Imam at-Tabarani, ada seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah lalu berkata:

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku ingin berangkat berjihad di jalan Allah. Rasulullah bertanya: adakah ibumu masih hidup?. Dia menjawab: Ya. Maka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: dampingilah kaki ibumu kerana di sanalah terdapat syurga.”

Hadith ini menunjukkan bahawa redha dan keizinan dari ibu itu adalah sangat penting walaupun perkara itu adalah perkara yang berkebajikan.

Kita lihat lagi sabda Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan at-Tirmizi. Baginda pernah ditanya:

“ Wahai Rasulullah siapakah orang yang lebih berhak saya berbakti kepadanya? Rasulullah menjawab: Ibumu, aku bertanya lagi: kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya lagi: kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya lagi: kemudian siapa lagi? Rasulullah menjawab: Bapamu, selepas itu barulah kaum keluarga yang terdekat serta kaum kerabat yang lain .”

Nah saudara-saudari yang dirahmati Allah, betapa pentingnya seorang ibu, betapa mulianya seorang ibu, betapa tingginya martabat seorang ibu. Kita lihat sabda Rasulullah yang tadi itu, Rasullullah sampaikan menekankan sebanyak tiga kali tentang siapa yang berhak kita menabur bakti.

Sebenarnya saudara-saudari sekalian, kewajipan anak mendahulukan berbakti kepada ibu kemudian bapa bukanlah bermaksud untuk merendah-rendahkan peranan seorang bapa dalam rumah tangga, bahkan tujuannya adalah untuk lebih memperingatkan kepada setiap anak bahawa setiap ibu terpaksa menghadapi tiga detik kesusahan yang tidak pernah dihadapi oleh seorang bapa iaitu:

Kesusahan mengandung


“14. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya),” (Surah Luqman : 14)


Kesusahan Melahirkan


“ telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah.” (Surah al-Ahqaf : 15)


Kesusahan Menyusukan


“…..dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun ” (Surah Luqman : 14)

Ini bukan jangkamasa yang pendek saudara-saudari, ini jangkamasa yang panjang, jika kita menuntut ilmu didalam masa dua tahun berapa ilmu sudah kita perolehi? Tentu banyak. Inilah pengorbanan seorang ibu. Inilah dia.

Tidak akan ada seorang pegawai tinggi, tidak akan ada seorang professor, tidak akan ada seorang imam, tidak akan ada seorang yang petah bercakap untuk berhujah jika tidak ada IBU YANG MELAHIRKAN. Ingatlah ini. Ingat!

Itu dia saudara-saudari, mengapa kita perlu berbakti kepada Ibu kerana mereka telah banyak melalui beberapa ujian, kesusahan, kesulitan, kepayahan. Namun tidak dapat kita nafikan dewasa kini masih ada juga anak yang derhaka kepada ibunya. Kerana apa saudara-saudari? Kerana mereka itu tidak melihat dan mengenang akan jasa-jasa ibu mereka.

Sekarang saya akan terangkan mengenai hak ibu, apakah hak ibu yang perlu kita penuhi. Apakah hak ibu yang perlu kita patuhi agar kita dapat mencapai syurga? Diantaranya ialah:

• TAAT
• HORMAT
• MEMINTA IZIN
• KASIH SAYANG
• BERKORBAN
• BERTERIMA KASIH

Saudara-saudari sekalian,
Sebagai kesimpulan, marilah kita tetap terus dan terus menerus mengenangkan jasa-jasa ibu kita walaupun sebenarnya kita tidak mampu untuk membalas jasa-jasa mereka, marilah kita berbakti dan mencurahkan kasih sayang yang tidak terhingga kepada mereka agar hidup kita akan penuh dengan keberkatan..amin..untuk itu saya sudahi dengan………

Saturday, April 17, 2010

CERAMAH KURSUS KEPIMPINAN PENGAKAP REMAJA 2010

Yang Mulia Ketua Kursus,
Yang Mulia Jurulatih-jurulatih,
Pemimpin-pemimpin Pengakap,
Para Peserta Kursus,
Serta para hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Pertama-tama marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya juga kita dapat berkumpul dalam sama-sama mendengar sesi ceramah keugamaan didalam kursus kepimpinan pengakap remaja pada kali ini.

Sebenarnya, saya diberikan tanggungjawab didalam mengawasi kegiatan keugamaan disepanjang kursus ini dengan dibantu oleh beberapa orang jawatankuasa keugamaan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam. Pada awalnya memang tidak termasuk ceramah ini didalam program tetapi setelah persetujuan dibuat oleh Setiausaha Latihan bahawa sesi ceramah akan diadakan bagi mengisi slot yang kosong sambil menunggu masuk waktu bagi menunaikan solat Isya’. Saya hanya diberitahu yang mana ceramah akan diadakan tapi tajuk tidak diberikan. Maka saya berusaha untuk mencari tajuk dan bahan yang sesuai dengan abiskita semua para remaja. Memang ngalih sebenarnya untuk mencari bahan, tapi demi untuk berkongsi ilmu dan mendidik abiskita semua maka, pihak jawatankuasa keugamaan PPNBD mengambil langkah yang perlu didalam sama-sama melatih, mendidik serta mengajar abiskita semua disini.

Saya berharap, abiskita tidak akan rasa mengantuk, merasa bosan, merasa endah tak endah tapi tolonglah untuk sama-sama kitani mengambil berkat dalam majlis ilmu kita pada hari ini. Selalunya kalau majlis ceramah jarang orang kitani kan datang dan mendengar, habis-habis pun jika dipaksa barutah kan beduyun-duyun datang. Mun inda, ungkapan malas tah ku ingau bermain dibibir. Jika kitani melihat, mana lebih meriah? Panggung wayangkah atau ceramah-ceramah? Shopping centre kah atau majlis-majlis ilmu? Party-party kah atau majlis-majlis ugama?

Memang jawapannya panggung wayang, tentu saja Shopping centre, tentu saja party-party, Atupun kalau kitani melihat, dimasjid-masjid, ceramah-ceramah yang diadakan, orang-orang veteran atau warga emas saja yang hadir tapi para belia remaja ganya sejamput saja. Nah, disini saya sendiri hendak mengajak diri saya sendiri dan abiskita semua wahai pengakap remaja untuk mengikhlaskan niat untuk mendengar ceramah ini kerana Allah dan niatkan untuk mendapatkan ilmu dan Insya Allah akan ada berkatnya daripada beduyun-duyun menonton wayang. Inda salah kan menonton wayang, tapi ada had-hadnya, saya inda mahu bercakap tentang wayang disini, atu bab lain.

Sebenarnya, apa yang saya hendak sampaikan ini bukanlah tentang panggung wayang, bukanlah tentang shopping centre, bukanlah tentang party-party tapi apa yang saya ingin sampaikan disini ialah akhlak.

Mengapa saya membawakan ceramah pada hari ini tentang akhlak? Apa kaitannya dengan Kursus ini?

Lihat dan perhatikan kepentingan akhlak berdasarkan kepada contoh ini. Seorang individu yang kaya, hidup mewah, kelulusan tinggi, kereta mewah, rumah besar namun ia tidak ada sedikitpun nilai akhlak yang baik. Dia pemabuk, dia zalim, banyak melakukan maksiat, mengabaikan sembahyang. Sebut saja tentang kejahatan, dia memang kepalanya.

Cuba kita cam contoh ini, adakah dia mampu menarik dan menawan hati manusia? Jika dia lelaki adakah dia mampu menawan hati perempuan? Jika dia seorang perempuan adakah dia mampu menawan hati lelaki? Memang ada yang tertawan, tetapi yang tertawan ini kebanyakkannya yang sama seperti mereka. Tapi ada juga segelintir kitani, akhlak inda bisai, tapi berdoa meminta untuk dipertemukan dengan yang baik, kalau ia perempuan ia mahukan lelaki yang warak, yang alim, yang penyayang tapi ia sendiri nada macam atu. Sama jua lelaki, ulah inda tantu, tapi mahukan pasangan yang solehah, yang manis akhlaknya tapi ia sendiri na’uzubillah.


Sebenarnya, didalam Al-Quran ada menyatakan dalam Surah An Nur ayat 26:

26. (lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik.

Itu bab memilih teman, saya tinggalkan ia, sekarang apa yang saya ingin tekankan disini kepada abiskita ialah pendidikan akhlak. Ia sangat penting. Ya, memang penting. Apa guna abiskita semua Berjaya dalam meraihkan anugerah pengakap remaja? Atau mungkin pengakap sultan. Apa nilainya jika tidak berakhlak. Apa gunanya lencana terlekat dibaju tapi akhlak yang baik dan mulia inda lakat.

Seorang pengakap remaja yang berkemahiran yang banyak umpamanya mengikat, berkawad, dan sebagainya tidak mencukupi jika tidak berakhlak.

Dari tadi saya menekankan tentang kepentingan akhlak, tapi apa sebenarnya berakhlak ini? Adakah ianya bersifat zahir sajakah? Adakah ianya bersifat batin sajakah? Sebenarnya ia merangkumi kedua-duanya ia juga bersifat zahir, ia juga bersifat batin. Mengapa saya mengatakan demikian? Cuba kita lihat dalam konteks Islam. Seseorang yang zahirnya baik, namun hatinya pula sebaliknya. Didepan kita, masya Allah baiknya bukan kepalang tapi dibelakang kita pula astagafirullah. Nah inilah yang dinamakan berakhlak secara zahir saja tapi batinnya tidak, adakah insane seumpama ini ada dikalangan manusia? Ada, memang ada.

Sekarang kita lihat yang seterusnya, seseorang yang hatinya ataupun batinnya baik tapi zahirnya pula sebaliknya. Batinnya baik tapi tidak melakukan sebarang amal kebajikkan, mungkin ada tapi amat sedikit. Contoh, saya petik tulisan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan didalam bukunya yang bertajuk orang sembahyang ditangisi oleh tempat sujudnya.

“ dan lebih teruk lagi, ada juga yang bersikap konon-kononnya lebih mementingkan dalaman walaupun tidak sembahyang ”. “ tidak usahlah control saya dengan hukum hakam. Kalau saya tidak sembahyang atau kalau saya buka aurat pun….yang penting dalaman saya bersih. Saya tak sembahyang tetapi saya tidak pernah usik orang, saya buka aurat, tetapi saya tidak pernah menyakiti hati siapa-siapa. Bukankah ini lebih baik daripada orang yang sembahyang dan tutup aurat tetapi hati mereka busuk. Mereka suka menyakiti hati orang lain”

Adakah orang yang sebegini? Ada, memang ada. Hukum Allah hanya di permainkan. Endah tak endah. Aku mau sembahyang, maulah, kalau inda, inda apa? Nah sebenarnya sembahyang itu juga melambangkan akhlak seseorang.

Mereka mendabik dada, mengakui mereka bersih tapi tidak mengerjakan sembahyang yang sememangnya kunci syurga. Macam mana nak masuk syurga jika tidak ada kunci? Ini menggambarkan batinnya yang diakuinya bersih tapi amalan utama yang dilakukan secara zahir pula diabaikan.

Macam mana nak Berjaya saudara? Jika tidak sembahyang. Macam mana nak cemerlang saudara? Jika tuntutan ugama diabaikan.

Mengapa pula sembahyang itu dapat dikategorikan sebagai berakhlak? Ada juga orang yang sembahyang tapi inda jua bisai ulahnya. Itu namanya sembahyang yang tidak khusyuk. Hanya jasadnya saja sembahyang. Hanya sekadar sembahyang, cukup rukun, cukuplah. Tapi pada hakikatnya, bersolat yang khusyuk mampu memancarkan akhlak yang baik. Yang orang yang masih inda baik atu iatah sembahyangnya masih inda khyusuk.. sembahyangnya badan hanya yang sembahyang tapi rohnya ataupun hatinya alum sembahyang. Dalam erti kata yang lain hatinya ali-ali.

Macam mana berakhlak jika tuntutan ugama on off. Kadang-kadang sembahyang, kadang-kadang inda. Mana nilai akhlak? Siuk-siuk beraktiviti, sembahyang lupa. Inilah contoh wahai saudara. Abiskita semua adalah bakal pemimpin, maka, marilah, betulkan diri kita. Barulah nanti semua pengakap kitani akan berakhlak insya Allah.

Nah, sekarang Tanya diri kamu, sudahkah aku bersedia? Bersedia menjadi seorang pengakap remaja yang berakhlak.

Dalam kursus ini, saya nak ambil kesempatan untuk menasihati diri saya sendiri dan abiskita semua. Lihatlah dan contohilah akhlak Rasulullah S.A.W. Bukannya David Beckham, bukannya micheal Jackson, bukannya agnes monica, bukannya artis-artis yang ketara melakukan maksiat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Malik:

“ Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ”

Rasulullah S.A.W itulah akhlak, dan akhlak itulah Rasulullah S.A.W. sekarang tanamkan didalam diri kita semua, sifat-sifat yang ada pada Rasulullah. Dirikanlah solat, lakukanlah segala tuntutan ugama, tinggalkanlah larangan ugama.

Barangkali setakat itulah saja buat kali ini. Dan sebelum saya menutup ceramah ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Kursus kerana member peluang untuk menyampaikan ceramah dan jika ada salah silap, kata yang kurang manis didengar, saya menyusun sepuluh jari. Apa yang baik itu adalah dari Allah dan apa yang buruk itu datang dari saya sendiri. Untuk itu saya sudahi dengan……..