Saturday, July 4, 2009

NUKILAN MEMBERI MAAF

Oleh: Knowledgeseeker

Asalamualaikum,semua,

Kita renungkan Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 237:

“Dan jika kamu memaafkan maka itu adalah lebih dekat kepada taqwa”


Allah menyatakan didalam ayat ini yang mana memberi maaf itu adalah dekat kepada taqwa. Taqwa dalam erti kata lain bermaksud takut iaitu takut akan Allah yang maha besar. Apabila kita berasa taqwa maka kita akan mudah untuk memberikan kemaafan kepada sesiapa saja samada yang membenci kita ataupun yang menyayangi kita.

Pemaaf merupakan satu sifat yang sangat terpuji yang sangat-sangat dianjurkan didalam Islam. Ini adalah kerana mudah memaafkan dapat memberikan impak yang baik bukan sahaja kepada dirisendiri malahan kepada agama, masyarakat, bangsa mahupun Negara.

Jika seseorang dizalimi, disakiti, diperkatakan orang, direndah-rendahkan orang, dicaci, dihina, orang berburuk sangka kepada kita dan lain-lain lagi maka dengan memaafkan mereka bermaksud kita akan dekat dengan taqwa. Tetapi kita sebagai khalifah dimuka bumi Allah ini haruslah memuhasabah diri kita yang serba kekurangan ini.

Apabila seseorang itu lebih-lebih lagi yang memusuhi kita, memperkatakan tentang kita jangan terus naik marah tetapi dengarkan apa yang diperkatakannya itu. Mungkin apa yang diperkatakan itu ada kebenarannya. Sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh Al Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Mukhtasar Ihya’ Ulumuddin”:

“ Jika engkau tidak menemukan seorang teman, maka dengarkanlah perkataan orang-orang yang dengki dengan mencari kesalahan-kesalahanmu. Ambillah faedah darinya dan tuduhlah dirimu mengenai segala keburukkan yang dituduhkan kepadamu. Jangan marah dan jangan memusuhinya bila seseorang mengingatkanmu atas suatu keburukkan. Sesungguhnya keburukkan itu bagaikan ular-ular dan kala jengking yang menyengatmu didunia dan akhirat ”

Dalam ertikata lain, mungkin apa yang diperkatakan oleh orang yang memusuhi kita itu benar kerana memang sebahagian lumrah manusia apabila ia dengki akan satu kejayaan kita, ia akan cuba menjatuhkan kita dengan mencari segala kelemahan dan kesalahan kita. Nah, disana kita sudah dapat tahu apakah keburukkan kita.

Bukankah seseorang yang ingin Berjaya harus memperbaiki diri dan memperbetulkan kesalahan. Tapi masalah kita, kita kadang-kadang tidak dapat mengesan apakah kekurangan kita. Maka kita tanyakanlah kepada orang lain seperti kaum keluarga,sahabat mahupun orang yang memusuhi kita.

Pihak yang memusuhi kita itulah salah satu aset kita yang dapat membantu kita mencapai kecemerlangan. Namun adakah saya dan anda bersedia? Bersedia menerima segala? Bersediakah untuk memaafkannya? Saya tepuk dada saya dan tanya selera saya? Dan bagi anda, tepuk dada anda dan tanya selera anda.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani dan Bazzar:

“ Mahukah aku tunjukkan tentang sesuatu yang menaikkan darjatmu? Bersopan santunlah dengan mereka yang tidak mempedulikanmu. Maafkanlah mereka yang menzalimimu. Berikanlah kepada mereka yang bakhil terhadapmu. Hubungilah mereka yang memutuskan hubungan persaudaraan denganmu ”

“.......Maafkanlah mereka yang menzalimimu........” kita tumpukan apa yang disabdakan Rasulullah tentang memaafkan ini.

Seseorang berlaku zalim kepada kita, maka Rasulullah menganjurkan kita memaafkannya jika kita mahu dinaikkan darjat. Mahukah kita dinaikkan darjat? Tentu mahu. Tidak boleh tidak mahu Cuma bersediakah saya dan anda?

Tetapi jika kezaliman yang dibuat itu boleh merosakkan diri, keluarga, lebih-lebih lagi agama, kita ada hak untuk mempertahankan diri jika apa yang diperkatakan itu tadi tidak benar (fitnah semata-mata) yang membawa mudarat kepada diri kita. Maka sama-sama kita memohon perlindungan kepada Allah.

Jika sudah terjadi kezaliman diatas diri adakah saya dan anda mampu untuk memaafkan? Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang disembunyikan oleh hati kita walaupun sebesar zarrah. Maka saya menyeru dan mendidik diri saya sendiri dan anda semua untuk sentiasa ringan hati untuk memaafkan umat manusia yang melakukan kezaliman pada diri kita. Marilah kita saling bermaaf-maafan sekarang, bukan tunggu hari raya adilfitri baru hendak bermaaf-maafan. Sebelum anda tidur diwaktu malam berdoalah dan berilah kemaafan kepada semua insan yang melakukan kezaliman pada diri kita dan semoga Allah menerima segala amal kebajikkan kita dan sentiasa memberikan sifat pemaaf dan menjadi seorang yang mudah untuk dimaafkan. Maka bermulalah sekarang, kelmarin adalah sejarah, hari ini apa yang dilalui dan esok belum pasti.

Mudahan apa yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada saya dan anda semua agar kita dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Maafkan segala kekurangan dan kedhaifan saya dalam menukilkan nukilan buat kali ini. Mudahan Allah menghindarkan diri saya dan anda semua dari sifat-sifat yang merosakkan amal kebajikkan kita.

Saya yang Dhaif.